Salam alaikum wa rahmatollah. Bismillahi Taala.
Dalam artikel pendek ini, dengan izin Allah, kami akan cuba rungkaikan sedikit sebanyak sejarah azan dari sisi pandang Sunni dan membandingkannya dengan hadis-hadis Sahih riwayat Imam-Imam Syiah.
Berikut adalah hadis yang menjadi pegangan saudara Ahlul Sunnah, dan dijadikan dalil sebagai permulaan bagi azan.
Dari Abdullah bin Umar katanya:”Adalah kaum muslimin ketika baru sampai di kota Madinah, berkumpul menunggu waktu sembahyang kerana belum ada cara untuk memberitahu. Pada suatu hari mereka itu bermesyuarat tentang cara pemberitahuan waktu; ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng seperti Nasrani dan ada pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet seperti Yahudi. Maka berkata Umar bin al-Khattab r.a:” Bukankah lebih baik menyuruh seseorang meneriakkan atau memberitahukan waktu sembahyang?” Bersabda Rasulullah s.a.w:”Hai Bilal, pergilah dan ajaklah orang-orang bersembahyang.” (Sahih, Imam Muslim)
Hadis ini menyatakan bahawa ibadah azan adalah hasil dari buah fikiran Khalifah Umar.
Hadis lain riwayat Abu Dawud mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid r.a meriwayatkan :”Ketika cara memanggil kaum Muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur aku bermimpi melihat ada seseorang sedang memegang sebuah loceng. Aku dekati orang itu dan bertanya kepadanya apakah ia ada maksud hendak menjual loceng itu. Jika memang begitu aku memintanya untuk menjual kepada aku saja. Orang tersebut malah bertanya,” Untuk apa ? Aku menjawabnya, “Bahawa dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum Muslimin untuk menunaikan solat.” Orang itu berkata lagi, “Adakah kau mahu jika ku ajarkan cara yang lebih baik ?” Dan aku menjawab ” Ya !”Lalu dia berkata lagi, dan kali ini dengan suara yang amat lantang , ” Allahu Akbar, Allahu Akbar..” Ketika esoknya aku bangun, aku menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan perihal mimpi itu kepada baginda. Dan baginda bersabda: “Itu mimpi yang sebetulnya nyata. Berdirilah di samping Bilal dan ajarkan dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu dan dia memiliki suara yang amat lantang.” Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal.” Rupanya, mimpi yang serupa dialami pula oleh Umar r.a, beliau juga menceritakannya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w bersyukur kepada Allah SWT di atas semua petunjuk tersebut.
Tanpa perlu memberi komentar kepada hadis di atas, berkaitan bagaimana sebuah ritual agama yang sebegitu penting adalah buah fikiran seorang manusia ghair maksum, atau mimpi manusia ghair maksum, dan bukan dari Rasulullah(s), ayuh kita membuat perbandingan dengan hadis-hadis dari pintu kota ilmu Rasulullah(s), Aimmah Ahlulbait(as). Kami kutip hadis berikut dari Furu al Kafi. Bab asal azan dan keutamaannya. Analisis hadis oleh Syeikh Nader Zaveri.
Hadis Pertama
علي بن إبراهيم، عن أبيه، عن ابن أبي عمير، عن عمر بن اذينة، عن زرارة والفضل، عن أبي جعفر (عليه السلام) قال: لما اسري برسول الله
(صلى الله عليه وآله) إلى السماء فبلغ البيت المعمور وحضرت الصلاة فأذن جبرئيل وأقام فتقدم رسول الله (صلى الله عليه وآله) وصف الملائكة والنبيون خلف محمد (صلى الله عليه وآله)
Ali bin Ibrahim dari ayahnya(Ibrahim bin Hashim) dari Ibn Abi Umair dari Umar bin Udhaya dari Zurarah bin A’yan dan Fadhl dari Abu Jaafar bersabda: “Apabila Rasulullah(s) di bawa Israk Mi’raj, dan sampai di Baitul Makmur, dan waktu solat tiba, Jibrail melakukan azan dan Iqamah, dan Rasulullah(s) menuju ke hadapan. Para malaikat dan Anbiya membuat barisan untuk bersolat di belakang baginda. (Hasan kerana Ibrahim bin Hashim)
Hadis Kedua
علي بن إبراهيم، عن أبيه، عن ابن أبي عمير، عن حماد، عن منصور بن حازم، عن أبي عبدالله (عليه السلام) قال: لما هبط جبرئيل (عليه السلام) بالاذان على رسول الله (صلى الله عليه وآله) كان رأسه في حجر علي (عليه السلام) فأذن جبرئيل (عليه السلام) وأقام فلما انتبه رسول الله (صلى الله عليه وآله) قال: ياعلي سمعت؟ قال: نعم، قال: حفظت؟ قال: نعم قال: ادع بلالا فعلمه، فدعا علي (عليه السلام) بلالا فعلمه (حسن)
Ali bin Ibrahim dari ayahnya (Ibrahim bin Hashim) dari Ibn Abi Umayr dari Hammad (bin Uthman) dari Mansur bin Hazim dari Abi Abdillah(as) yang bersabda: “Apabila Jibril datang kepada Rasulullah(s) bersama azan, kepala baginda berada di ribaan Ali, jadi Jibril mengucapkan azan dan iqamah(mengajarkannya pada Nabi). Maka apabila Nabi(s) tersedar, baginda bersabda: “Wahai Ali, adakah kamu mendengarnya?” Ali menjawab ya. Baginda bersabda: “Adakah kamu menghafalnya?” Ali menjawab ya. Baginda bersabda: “Panggilkan Bilal dan ajarkan kepadanya.” Maka Ali memanggil Bilal dan mengajarkan kepada beliau. (Hassan kerana Ibrahim bin Hashim)
Maha suci Allah. Solawat ke atas Muhammad dan keluarganya yang disucikan. Persoalannya, yang manakah yang lebih kuat untuk dijadikan pegangan? Yang manakah yang lebih selari dengan Quran dan logik atas kedudukan Rasulullah(s) sebagai pembawa syariat dan penerima wahyu? Inilah persoalan yang perlu difikirkan sendiri oleh para pembaca.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar